Tambahan 2,141 Kuota Guru Dan Pengetua Cemerlang - Muhyiddin

KUALA TERENGGANU, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan meluluskan serta-merta pertambahan 2,141 kuota bagi jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) di sekolah menengah di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan juga bersetuju untuk mewujudkan beberapa jawatan guru cemerlang bagi PPPS yang berkhidmat di sekolah rendah.

"(Pertambahan kuota itu) Ia sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Guru 2009 peringkat kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, di sini hari ini.

Turut hadir pada sambutan bertemakan "Guru Pembina Negara Bangsa" itu, ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Muhyiddin berkata bagi guru cemerlang Gred Khas C, kerajaan bersetuju menambahkan kuota daripada 24 kepada 36 jawatan manakala tambahan 34 jawatan lagi kepada 100 jawatan sedia ada untuk Gred DG54.

Gred DG52 pula ditambah daripada 250 kepada 336 jawatan, Gred DG48 daripada 1,000 kepada 1,345 jawatan, Gred DG44 daripada 4,000 kepada 5,379 jawatan, pengetua cemerlang Gred Jusa C daripada 10 kepada 20 jawatan dan pengetua cemerlang Gred DG54 daripada 200 kepada 475 jawatan.

Pengetua cemerlang Gred DG52 pula dikekalkan sebanyak 400 jawatan, katanya.

Bagi jawatan guru cemerlang PPPS yang berkhidmat di sekolah rendah pula, beliau berkata sebanyak 173 jawatan diwujudkan bagi Gred DG48 dan 1,737 jawatan untuk Gred DG44.

Muhyiddin berkata Pegawai Perkhidmatan Bukan Siswazah juga akan menikmati laluan kerjaya yang sama apabila kerajaan selesai melakukan kajian mengenainya tidak lama lagi. "Bagi Pegawai Perkhidmatan Bukan Siswazah pula masih di peringkat rundingan dan penilaian oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan kementerian.

"Saya berharap satu yang positif dapat dicapai. Bila (perkara ini) dapat diputuskan, kita beritahu tarikh sebenar. Saya sebut tadi (dalam ucapan), tidak payah tunggu tahun depan...kalau boleh selesai awal," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga bersetuju memberikan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada pasangan pegawai yang turut berkhidmat di sekolah-sekolah pedalaman selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat penyayang.

Beliau berkata tarikh berkuatkuasa elaun itu dikebelakangkan mulai 1 Mac lepas.

Katanya kerajaan juga akan membuat Bayaran Insentif Pembantu Pengurusan Murid sebanyak RM200 sebulan kepada Pembantu Pengurusan Murid (PPM) yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

"Tarikh kuatkuasa bayaran insentif itu juga telah dikebelakangkan mulai 1 Januari 2009," katanya.

Beliau berkata bayaran itu adalah bagi menghargai pengorbanan yang telah diberikan oleh anggota khidmat sokongan, terutamanya PPM.


-- BERNAMA

$$$$$ hahaha PT aku kata gaji dah wat sampai bln 7, maknanya selepas bln 7 la br dpt...lg afdal kalo dpt nak raya gaji bln 9...hehehe $$$$$

0 comments: